Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Bukit Bintang, Rosman Mohd Nordin (tengah) bercakap pada sidang media berkenaan kerjasama Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bukit Bintang menegur sikap segelintir pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) agar menghentikan segera politik berkepentingan sepihak yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan sedia ada.

Ketuanya, Rosman Mohd Nordin menegaskan, dalam suasana kerajaan yang masih baharu ketika ini, ia amat memerlukan pengorbanan daripada semua parti-parti gabungan sedia ada.

Malah jelas beliau, rakyat sedang memerhati dan menilai sikap pemimpin-pemimpin yang ada kalanya begitu keterlaluan seperti mendesak untuk kepentingan diri sendiri dan juga bersifat sepihak.

“Justeru, kami mengesa agar semua parti-parti yang sedang bekerjasama di dalam kerajaan ketika ini mengelak kenyataan sepihak dan tuding-menuding sesama sendiri sebaliknya mengutamakan kerja sepasukan yang lebih proaktif.

“Pada masa sama, pucuk pimpinan parti-parti kerajaan sedia ada perlu lebih peka dan mengawal kenyataan-kenyataan pimpinan parti masing-masing agar tidak mengguris perasaan dan kredibiliti parti-parti lain.

“Selain itu, perlu diadakan sesi sumbang saran untuk bekerja sebagai satu kumpulan untuk menentukan masalah, teori dan kaedah-kaedah untuk penambahbaikan dan menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai tanda aras untuk memperbaiki hubungan kerjasama pada masa hadapan.

“Akhirnya, semua pemimpin perlu mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan semangat bekerja dalam satu pasukan dan di samping menjaga nama baik parti masing-masing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Bukit Bintang, Rosman Mohd Nordin bercakap pada sidang media berkenaan kerjasama Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 OKTOBER 2020

Rosman menambah, analisa dan laporan PRN Sabah jelas menunjukkan kepincangan kerjasama yang terjalin di antara PN dan BN serta masih banyak lagi perkara yang perlu dipertingkatkan dan memerlukan penambahbaikan.

Jelas beliau, terdapat dua parti utama iaitu Bersatu dan UMNO yang seolah-olah bersetuju dan tidak bersetuju di atas jalinan kerjasama yang berlaku di negeri.

Namun katanya kematangan ketika kempen  di PRN itu dapat membuahkan hasil yang membanggakan ketika  situasi Parti Warisan Plus yang mempunyai kekuatan untuk mendominasi PRN Sabah.

“Kami yakin sekiranya kerjasama dan kesefahaman yang lebih erat berlaku ketika PRN Sabah tempoh hari bilangan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri yang dimenangi Gabungan Rakyat Sabah akan melebihi apa yang telah diperolehi.

“Tidak boleh dinafikan kerjasama yang dijalin setakat ini perlu penambahbaikan dari segi kesefahaman dan kesepakatan untuk menjamin keputusan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Keterbukaan dan politik matang oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya dihargai oleh semua pihak di dalam kerajaan sedia ada,” katanya.

Rosman turut memberitahu, sebagai satu bahagian parti, pihaknya bersikap terbukan dan tidak bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum mengejut diadakan dalam masa terdekat ini.

Tegas beliau, semua pihak perlu mengutamakan keselamatan rakyat berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini sekarang. – MalaysiaGazette