Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul ekoran arahan penangguhan kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, pelajar yang sudah tiba untuk mendaftar boleh terus kekal di kampus dan tunggu arahan seterusnya oleh pihak universiti.

“Pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti,” katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata, sejajar dengan dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT ditangguhkan serta merta. Cadangan dibuat susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka. Kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.- MalaysiaGazette