Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memakai ‘gelang merah jambu’ ditahan selepas disyaki melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) COVID-19 dengan makan di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di hadapan restoran itu kira-kira pukul 7.30 malam setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Semakan mendapati lelaki berkenaan diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula semalam hingga 16 Oktober depan selepas ujian saringan COVID-19 di klia2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) dan keputusan (ujian saringan) masih belum diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu akan direman esok bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 8) 2020.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi perintah menjalani kuarantin yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga serta orang lain. Perbuatan ini juga boleh menggusarkan masyarakat sekitar, “ katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri. – Bernama