Keadaan lori yang terbakar selepas terbalik di Lebuh Raya KArak semalam.

KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas lori tangki muatan bahan kimia asid hidroklorik (HCL) yang dipandunya terbalik di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian 9.19 malam itu, mangsa P. Siniwasan, 56, yang beralamat di Kampung Seri Serendah, Selangor, maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok batu yang mengakibatkan lori dipandunya terbalik secara melintang.

“Kejadian berkenaan menyebabkan tangki bahan kimia itu pecah dan tertumpah di atas jalan. Mayat mangsa di bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, JBPM Pahang dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menggunakan jentera Wheel Loader bagi mengalihkan bahagian hadapan lori dan menggeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurut kenyataan itu, seramai 35 anggota dan pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba Bentong, Gebeng dan KLCC telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan Hazmat telah menjalankan kerja-kerja ‘neutralisation’ dan seterusnya memantau proses pemindahan bahan kimia yang dijalankan bagi memastikan tiada lagi unsur-unsur bahaya di lokasi kejadian,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Anih Berhad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan laluan kanan lokasi kemalangan itu telah dibuka kira-kira 6.46 pagi tadi bagi memberi laluan kepada pengguna.

Kerja pembersihan bahan kimia tersebut dan pemantauan masih giat dilakukan oleh pihak berwajib bagi memastikan keselamatan pengguna. Syarikat menasihatkan pengguna supaya terus mematuhi arahan petugas di lokasi, menurut kenyataan itu.  – MalaysiaGazette