LONDON – Kementerian Kewangan Arab Saudi menganggarkan harga minyak sekitar AS$50 setong untuk tempoh tiga tahun lagi, menurut Goldman Sachs Group Inc, yang menganalisis pelan fiskal negara negara itu.

“Dengan menggunakan anggaran untuk pecahan pendapatan kerajaan, kami mengira angka yang dikemukakan dalam penyata anggaran berdasarkan pada harga minyak, rata-rata sekitar AS$ 50 setong antara tahun 2020 dan 2023,” kata Farouk Soussa, seorang penganalisis yang berpusat di London.

Minyak mentah Brent turun 6.3% kepada AS$ 39.27 setong minggu lalu kerana lebih banyak negara mengetatkan sekatan untuk mengatasi wabak koronavirus dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula didapati positif Covid-19, menyebabkan para pedagang khuatir terhadap prospek permintaan tenaga.

Walaupun minyak pada harga AS$50 akan mewakili kenaikan 25% daripada harga semasa, harga bahan bakar itu masih jauh di bawah tahap pra-pandemi sekitar iaitu AS$ 65 dan kurang daripada keperluan Arab Saudi untuk mengimbangkan anggarannya.

Pengiraan kasar Goldman selari dengan bank pelaburan yang berpusat di Kaherah, EFG Hermes, yang mengatakan Arab Saudi membuat anggaran harga minyak pada tahun depan antara AS$50 hingga AS$65.

Goldman sendiri lebih cenderung menjangkakan Brent akan meningkat menjadi AS$65 setong pada akhir 2021.

Defisit fiskal Arab Saudi dijangka 5.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2021 daripada 12% tahun ini kerana mengurangkan perbelanjaan, menurut kenyataan minggu lalu.

Kerajaan Arab Saudi relatifnya cenderung mengambil pandangan konservatif mengenai harga minyak mentah dalam menyusun bajetnya dan tidak mendedahkan unjuran yang dibuat.

Arab Saudi memerlukan minyak didagangkan pada harga AS$ 66 untuk mengimbangkan bajetnya pada tahun 2021, menurut anggaran dari Dana Kewangan Antarabangsa. – MalaysiaGazette