Masjid Ulul Albab

BESUT – Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih, di sini ditutup untuk semua aktiviti keagamaan selama tiga hari bermula hari ini bagi proses sanitasi dan pencegahan penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Jertih, Hanif Abas berkata ia susulan masjid tersebut pada Jumaat lepas telah dilawati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang disahkan positif COVID-19.

“Sejak semalam lagi semua majlis ilmu seperti kuliah agama ditangguhkan sementara manakala semua ahli jawatankuasa masjid termasuk jemaah yang berada pada majlis agama bersama Dr Zulkifli pada hari tersebut telah diminta berada di rumah terlebih dahulu.

“Kami diberitahu pihak Pejabat Kesihatan Daerah Besut akan memaklumkan dalam masa terdekat di mana saringan COVID-19 akan dilakukan bagi mengelak kesesakan di klinik kesihatan atau hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Hanif berkata Zulkifli singgah di masjid berkenaan dan sempat menyampaikan khutbah serta solat Jumaat di situ dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun katanya seramai kira-kira 23 individu membabitkan ahli jawatankuasa masjid, imam dan jemaah sempat bergambar dengan Zulkifli, sebelum beliau meninggalkan majlis.

Sementara itu bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu ditutup hari ini bagi memberi laluan kepada aktiviti disinfeksi.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad berkata semua urusan kaunter dan pelanggan di tiga jabatan tersebut tidak akan beroperasi sementara waktu dan semua pegawai serta kakitangan juga diarahkan untuk bekerja dari rumah hari ini.

“Insya-Allah urusan kaunter dan pelanggan akan beroperasi semula seperti biasa pada Rabu (7 Okt). Selain itu, semua kelas Muallim, Takmir serta SPAIT (Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu) di seluruh negeri juga ditangguhkan sementara bermula hari ini,” katanya melalui Facebook rasmi JHEAT hari ini.

Difahamkan, penutupan premis itu mempunyai kaitan dengan pengumuman Zulkifli yang mengesahkan dirinya positif COVID-19 semalam.

Dalam pada bangunan Yayasan Pembangunan Usahawan di sini turut ditutup selama tiga hari bermula hari ini bagi  proses sanitasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata meskipun tiada kes positif COVID-19 direkodkan di situ namun proses sanitasi tetap dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga.

— BERNAMA