Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) bersama Yang Dipertua PPKSM, Hamzah Omar (kanan) dan Timbalan Presiden PPKSM, Salmah Othman (kiri) berbincang sesuatu mengenai memorandum yang akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia selepas sidang media Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) berkenaan isu penjualan makanan dan minuman dari pihak koperasi dan guru sekolah di Cheras Central, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemak semula hak eksklusif yang diberikan kepada pengusaha kantin sekolah.

Timbalan Presidennya, Salmah Othman berkata, ini susulan pelaksanaan dan penguatkuasaan hak itu telah dilanggari apabila ada koperasi dan guru menjual makanan dan minuman di dalam kawasan sekolah.

“Apa tugas guru besar atau pengetua yang diberi amanah daripada kerajaan untuk membimbing guru-guru ini terhadap pembelajaran tapi disalahgunakan kepada pemakanan.

“Yang jadi mangsa anak-anak murid kita sedangkan pengusaha kantin diberi kursus cara penyediaan makanan sihat tapi bila guru jual makanan berunsurkan coklat boleh pula? Sedangkan kita dapat arahan bahawa kandungan coklat tidak dibenarkan.

“Tapi saya lihat di koperasi-koperasi mereka akan menggunakan makanan-makanan ini (ringan berunsur coklat) untuk menarik terutama murid sekolah rendah,” katanya pada sidang media di Cheras Sentral, hari ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

Isu penjualan makanan dan minuman oleh pihak ketiga di dalam kawasan sekolah didakwa berlarutan hampir 20 tahun lalu.

PPKSM mendakwa tindakan itu melanggar hak eksklusif yang termaktub di dalam perjanjian sewaan kantin, sebut harga dan tender yang telah dipersetujui kerajaan.

Selain itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (KPM) digesa memantau koperasi-koperasi yang beroperasi di sekolah agar tidak mengambil alih tugas kantin dalam pembekalan makanan dan minuman sihat kepada pelajar.

“Bagaimana koperasi boleh jual makanan sedangkan memang tak boleh. Kalau kantin tak dibenarkan jual makanan ringan, macam mana koperasi boleh jual makanan ringan.

“Dalam Akta makanan hanya boleh dijual oleh pihak kantin sekolah sahaja dan pihak KPM kena lihat perkara ini dengan serius sekali,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Barisan Tolong Ummah (BANTU), Mohamad Nizam Abd Samar Zammi membidas dakwaan kononnya harga makanan dan minuman yang dijual di kantin sekolah tinggi dan membebankan.

“Setiap kontrak atau tender kantin yang dipersetujui di dalam perjanjian itu sudah diberi sebut harga. Tidak mungkin akan ada harga yang lebih mahal, kalau ada pun mungkin barang mentah mahal. Itu pun sedikit (kenaikan).

“Persoalan di sini guru-guru boleh jual makanan kepada murid-murid lebih mahal daripada pengusaha kantin.

“Kalau sebelum ini ada peniaga-peniaga di luar sekolah, pihak sekolah marah, perkara ini perlu diperhalusi betul-betul,” katanya lagi. – MalaysiaGazette