Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah beroperasi semula pada pagi ini dan penstabilan proses rawatan air sedang dijalankan.

Pengguna terawal akan mula mendapat bekalan air pada jam 12 tengah malam ini, kata Pengurusan Air Selangor.

Air bersih akan melalui ujian kualiti dan pematuhan berdasarkan standard Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum diagihkan kepada pengguna.

Pemulihan sepenuhnya dibahagikan kepada tiga kumpulan utama yang mana kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6 petang, 7 Oktober 2020.

Kumpulan kedua merangkumi 91 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6.00 petang, 8 Oktober 2020.

Manakala, kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan akan menerima bekalan air sepenuhnya pada jam 6.00 petang, 9 Oktober 2020.

Setakat ini, sebanyak 98 lori tangki air telah digerakkan ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

Sebanyak 26 tangki statik, 11 stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam juga disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas.

Air Selangor berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette