Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh. foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima surat rasmi Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi selepas penyandangnya Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, surat mengenai kekosongan itu telah diterima hari ini.

“Ya. Saya boleh sahkan di sini bahawa hari ini kami terima surat daripada Speaker Dewan Rakyat berkenaan kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi, pegawai saya memaklumkan surat telah diterima hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun beliau akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenai tindakan lanjut SPR dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Abdul Ghani tidak boleh mengulas lanjut memandangkan beliau sedang menjalani proses kuarantin kendiri di rumahnya selama 14 hari.

“Tunggu kenyataan media SPR nanti. Maaf ya, sebab saya sekarang kuarantin diri selama 14 hari sejak balik dari PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah dan pada 28 September lalu melakukan swab test dan diarah kuarantin diri 14 hari sehingga 12 Oktober ini.

“Saya kena habiskan dulu kuarantin diri dua minggu ini. Sekarang saya kerja berurusan secara dalam talian sahaja dengan pegawai dan kakitangan SPR.

“Jangan risau, nanti kami akan keluarkan kenyataan media memaklumkan tarikh mesyuarat khas, serta penentuan tindakan seterusnya iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) dan sebagainya,” katanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Speaker Dewan Rakyat arah SPR isi kekosongan kerusi Batu Sapi