Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR- Sekatan perjalanan dari dan ke Sabah melibatkan Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan dilaksanakan mulai 12 sehingga 25 Oktober ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira peningkatan kes Covid-19 di seluruh negeri Sabah.

Bagaimanapun menurut beliau, terdapat pengecualian khas kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kecemasan, kematian dan perkhidmatan perlu.

Mereka perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu.

Berikut adalah kebenaran yang diberikan bagi pergerakan masuk ke Sabah:-

a) Rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H

b) Pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sabah, atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

c) Pekerja bidang perkhidmatan perlu (essential service) yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.

d) Pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad/pas pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah.

e) Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah perlu mendapatkan cop seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pejabat Imigresen Sabah setelah masuk ke Negeri Sabah

f) Pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk dalam passport.

Bagi pergerakan keluar dari Sabah kebenaran diberikan seperti berikut;

1) Kes kecemasan dan tugas-tugas rasmi dibenarkan dengan mengemukakan permohonan dan mendapat kebenaran daripada pihak KKM

2) Mereka juga akan menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434. – MalaysiaGazette