Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Hilman Idham berharap semua pihak menghormati privacy Ahli Parlimen Gombak itu dan keluarganya.

Katanya, beliau menerima banyak pertanyaan tentang kesihatan dan kedudukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu ketika ini.

“Saya harap semua pihak menghormati privacy beliau dan keluarga. Mohon semua bertenang dan mendoakan keselamatan dan keafiatan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu anak perempuan Azmin, Farah Amira dalam ciapannya berkata, biar macam mana pun kita membenci seseorang, mendoakan mereka ditimpa penyakit adalah tidak okay.

“Semoga Allah melindungi kita semua,” ciap beliau di Twitter.

Ciapan itu diulang kicau Azmin.

Ahli Parlimen Gombak itu kini dilaporkan menjalani kuarantin kendiri di rumah beliau.

Semalam, Ketua Penerangan PN itu didakwa dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, ia dinafikan Setiausaha Akhbar kepada Mohamed Azmin, Adlin Zabri yang berkata ia adalah berita palsu.

Artikel berkaitan: Fake news, Azmin kuarantin di rumah

“Fake news. (Azmin) kuarantin kendiri di rumah. Sebab itu beliau tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang diadakan pada Sabtu lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sementara itu, seorang lagi menteri yang turut didakwa positif Covid-19 ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, sumber lain yang rapat dengan Hamzah, memberitahu beliau sudah menjalani dua kali ujian saringan Covid-19 dan keputusannya negatif. – MalaysiaGazette