Tempoh PKPD di Rumah Pangsa Tongkang Yard tamat tengah malam ini.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar yang dilaksanakan di Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak, Alor Setar ditamatkan pukul 12.01 tengah malam ini.

Keputusan itu dibuat kerana Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati tiada penambahan kes baharu positif Covid-19 direkodkan untuk tempoh tujuh hari sejak 28 September lalu.

Oleh itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bersetuju PKPD bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard itu ditamatkan berkuat kuasa tengah malam ini.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah pun menamatkan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar, namun telah melanjutkan tempoh PKPD bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard bermula 25 September 2020.

“Sebanyak 249 sampel kedua telah diambil dan bilangan kes positif Covid-19 kekal 12 kes seperti yang direkodkan KKM pada 28 September lalu.

“Kita ucapkan terima kasih kepada KKM dan barisan hadapan atas kejayaan ini, melandaikan terus dan menjadikan Covid-19 positif.

“Dengan itu, tidak ada lagi di kawasan itu kes positif sejak tujuh hari lalu. Ini adalah satu berita baik KKM dan pasukan barisan hadapan yang lain,” katanya pada sidang media khas di kediamannya, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, mengenai Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, semalam sahaja seramai 357 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Kata beliau, dari jumlah itu, 320 individu dikenakan kompaun, manakala 35 direman dan dua lagi dijamin.

“Mereka melakukan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga penjarakan sosial dan kesalahan Imigresen, selain beraktiviti di pub dan kelab malam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, dalam Operasi Benteng di sempadan negara pula, seramai 38 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan.

Turut ditahan ialah dua tekong dan empat penyeludup serta merampas lapan kenderaan darat yang digunakan untuk aktiviti menyeludup Pati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast