Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar arahan Kementerian Kesihatan kerana tidak memakai gelang pengawasan adalah tidak benar.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Muhyiddin dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu, beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan,” kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan keputusan ujian saringan pengesanan Covid-19 yang dilakukan pada 5 Oktober lalu ke atas Muhyiddin telah disahkan negatif sehari selepas itu.

Beliau juga telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September dan didapati negatif.

Perdana Menteri walaubagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala semasa dalam tempoh pemantauan tersebut.

“Setakat ini keadaan kesihatan Perdana Menteri adalah baik. Walaupun begitu beliau akan terus melakukan kuarantin kendiri sehingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh KKM,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette