Orang ramai menghantar permohonan kebenaran bekerja di dalam premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 08 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di Daerah Klang terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada Prosidur Operasi Standard (SOP).

Sehubungan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengingatkan syarikat-syarikat dan industri yang berkaitan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi diberhentikan serta merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, keputusan kerajaan ini mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti logistik, pengangkutan, makanan & minuman dan lain-lain lagi.

Dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan fasa pemulihan ekonomi pada masa ini, kerajaan bertegas tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat

”Pihak berkuasa diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja dan rakyat di Klang,” katanya di sini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang dilaksanakan di daerah itu ekoran kenaikan kes Covid-19.

Namun, Azmin percaya syarikat dan industri termasuk perusahaan kecil sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan dan protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing sejak kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020.

Katanya, Negeri Selangor menyumbang 24 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30 peratus daripada keseluruhan sektor pembuatan negara.

Daripada aspek pasaran buruh, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor iaitu 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara.

Daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019. – MalaysiaGazette