Orang ramai beratur panjang hingga ke parkir kenderaan untuk menghantar permohonan kebenaran bekerja di dalam premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, Klang, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 08 OKTOBER 2020.

KLANG – Kurang 24 jam dari sekarang, seluruh daerah Klang akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas kawasan ini diklasifikasikan sebagai zon merah kerana mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19.

Walaupun perimeter kawalan perintah itu belum dimuktamadkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, namun orang ramai kelihatan seolah-olah panik sejak awal pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 9 pagi hingga 2 petang tadi mendapati kekalutan itu dapat dirasakan apabila jumlah kenderaan yang berada di atas jalan raya bertambah sekali ganda berbanding semalam.

Bermula dari Teluk Pulai, Kampung Sungai Udang, Kampung Delek, Pandamaran dan Pelabuhan Klang, jumlah kenderaan yang bergerak keluar semakin bertambah, dipercayai kebanyakannya mahu berurusan di luar daerah Klang.

Aliran trafik kelihatan sesak khususnya yang menghala ke Lebuhraya Persekutuan iaitu berhampiran dengan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Klang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Klang dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasa tepat jam 12 malam ini semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 08 OKTOBER 2020.

Kesesakan teruk dikesan sepanjang hampir 10 kilometer dari Persiaran Raja Muda Musa dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Lebuhraya Persekutuan, melalui Jambatan Kota berhadapan dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hingga ke Sungai Rasau, Shah Alam.

Aliran trafik di jalan-jalan perbandaran juga kelihatan sesak khususnya yang menghala ke Lebuhraya Persekutuan, iaitu berhampiran dengan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Klang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Klang dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Menariknya wartawan MalaysiaGazette terserempak dengan beberapa pasangan pengantin lengkap dengan pakaian persandingan dipercayai baru sahaja selesai urusan pernikahan di pejabat JAIS Klang sejak jam 10 pagi tadi.

Kelihatan sepasang pengantin lengkap dengan pakaian persandingan dipercayai baru sahaja selesai urusan pernikahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan tepat jam 12 tengah malam ini semasa tinjuan lensa Malaysia Gazette di Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Klang, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 08 OKTOBER 2020.

Malah orang ramai juga turut kelihatan berpusu-pusu memenuhi pekarangan pejabat JAIS di sini dan beratur panjang untuk membuat pelbagai urusan sebelum PKPB dikuatkuasakan tepat jam 12 tengah malam nanti.

Lebih mengejutkan apabila tinjauan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mendapati orang ramai mula beratur panjang di luar pejabat berkuasa itu sejak jam 12.30 tengahari tadi.

Apabila ditanya, kebanyakan mereka mahu meminta kebenaran daripada pihak polis untuk melakukan rentas daerah bagi membolehkan orang ramai bekerja di premis perniagaan seperti biasa.

Selain itu, MalaysiaGazette turut membuat tinjauan di beberapa jambatan di Klang yang merentasi Sungai Klang seperti jambatan ketiga Klang iaitu Jabatan Raja Muda Nala menghala ke Jalan Kapar dan Jambatan Musaeddin menghala ke Jalan Tengku Kelana.

Kedua-dua jambatan ini masih dibuka kepada semua jenis kenderaan ketika ini walaupun sebelum ini ditutup sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lau.

Mengikut rekod, Jambatan Kota merupakan salah satu jalan keluar utama kepada penduduk Klang semasa tempoh PKP lalu dan mereka perlu melalui sekatan jalan raya pihak polis dan tentera sebelum dibenarkan melakukan rentas daerah. – MalaysiaGazette