Foto laman web Portimonense S.C

KUALA LUMPUR – Penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid telah diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baharu kelab dari liga Portugal, Portimonense S.C pada awal pagi ini.

Menurut kenyataan daripada laman web kelab itu, skuad kendalian Paulo Sergio telah menandatangani Safawi secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pilihan untuk membeli secara tetap.

Paulo Sergio sebelum ini menegaskan dua pemain baharu dari Asia iaitu Safawi dan Jafar Salmani dari Iran adalah untuk pelan jangka masa sederhana dan panjang untuk kelab itu kerana kedua-dua pemain perlu menyesuaikan diri dengan ‘dunia baru’ dalam karier bola sepak mereka.

“Kita perlu memberikan masa dan tidak mencipta satu harapan yang melampau seterusnya menjurus kepada kekecewaan,” jelas Sergio kepada portal, O’Jogo.

Portimonense S.C telah lama mengikuti perkembangan Safawi iaitu selama enam bulan sejak tahun 2019 dan mereka menyifatkan pemain yang berusia 23 tahun itu merupakan antara pemain muda paling berbakat di Asia.

Prestasi cemerlang Safawi bersama skuad Harimau Malaya ketika beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 turut menarik minat mereka untuk menandatangani pemain tersebut.

Liga Primera Portugal baru sahaja memulakan musim 2020/21 dan Portimonense kini menghuni kedudukan ke-16 liga selepas tiga perlawanan dan belum mencatat sebarang kemenangan setakat ini.

Bagaimanapun, Safawi bukanlah satu-satunya pemain Asia dalam kelab itu kerana Portimonense juga turut mempunyai dua lagi pemain dari Asia iaitu penjaga gol skuad kebangsaan Jepun iaitu Shuichi Gonda dan bekas pemain Kashima Antlers, Koki Anzai.

Menariknya, Anzai pernah menentang Safawi ketika mewakili pasukan masing-masing dalam saingan AFC Champions League 2019.

JDT ketika itu menewaskan Kashima Antlers, 1-0 di Stadium Larkin dan mereka kini merupakan rakan sepasukan. – MalaysiaGazette