Sebahagian banduan kusyuk membaca al-Quran pada hari ke 39 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena bulan Ramadan di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu berkaitan pengurusan di penjara bagi menyekat penularan Covid-19 di kawasan tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan perkara itu memberitahu, pada masa ini SOP pengurusan banduan di penjara, SOP penerimaan banduan baharu serta SOP bagi mengiringi banduan ke mahkamah, telah pun digunakan.

“Bagi penerimaan banduan saringan Covid-19 akan dilakukan kepada banduan yang dikuarantin sebaik sahaja masuk.

“Banduan yang bergejala semasa dalam tempoh kuarantin hendaklah dirujuk kepada hospital dan saringan kedua akan dilakukan pada hari ke-13.

“Setelah tamat tempoh kuarantin, banduan yang negatif akan dipindahkan ke Blok Penempatan Kekal pada hari ke-15 dan akan diasingkan selama lima hari daripada bercampur dengan
banduan lain,” katanya oada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, untuk pengurusan banduan pula, jawatankuasa urusetia pengurusan krisis Covid-19 diwujudkan dan diaktifkan.

Katanya, pengoperasian penjara sementara turut diwujudkan bagi
mengelakkan kesesakan.

Jabatan Penjara juga katanya, turut mewujudkan pangkalan kepada anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan berhampiran untuk merawat banduan yang tidak kritikal di blok penempatan.

Malah, banduan sedia ada dalam penjara tidak dibenarkan keluar
daripada penjara kecuali bagi tujuan rawatan dan pengurangan kesesakan.

“Pergerakan dalam penjara dihadkan kecuali banduan dapur dan banduan kebersihan.

“Lawatan oleh keluarga banduan dibatalkan serta merta dan banduan perlu melakukan sanitasi dalam dan luar penjara sekurang-kurangya dua kali sehari,” ujarnya. – MalaysiaGazette