Penduduk sedang melihat seorang penunggang motosikal melintasi deretan bendera Parti Cinta Sabah (PCS) sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Tanjung Batu Laut, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2020.
09/10/2020 09:34 AM

KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) membuat keputusan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata Setiausaha Agungnya Ansari Abdullah.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan nyawa dan keselamatan rakyat susulan peningkatan kes Covid-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, Sabah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk menanggung penularan kes baharu Covid-19 jika proses kempen dan pengundian PRK Parlimen Batu Sapi dilaksanakan.

“Kami berdoa supaya Sabah dan rakyatnya dilindungi daripada gejala virus Covid-19…pada kami, nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik.

“Sabah sedang dilanda jangkitan Covid-19 yang amat teruk dan jelas prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 baru-baru ini gagal membendung penularan virus itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporĀ akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Kong pada 2 Okt lepas.

Menurut SPR, pelaksanaan PRK itu selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa, 13 OktĀ ini.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak akan bertanding pada PRK Parlimen Batu Sapi bagi mengelak penularan pendemik itu di negara ini khususnya di Sabah. – MalaysiaGazette