Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan kebimbangan terhadap salah laku yang berlaku dalam kalangan polis.

Sehubungan itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa satu badan bebas aduan dan salah laku polis ditubuhkan segera bagi mengekang kegiatan yang tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang itu.

Katanya, polis adalah satu badan yang dihormati dan rakyat bergantung kepada integriti pasukan keselamatan itu bagi menjamin keselamatan serta keamanan negara.

“Kita bimbang dengan laporan baru-baru ini, dengan berita salah laku polis melibatkan pengubahan wang haram dipercayai turut terlibat lapan pegawai kanan polis.

“Kita bukan mahu mencari salah polis. Kita mahu integriti PDRM terus dijaga dan menjadikannya sebuah badan yang dihormati dan dapat berkhidmat secara amanah terhadap negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan polis serta merampas wang tunai RM100,000 berhubung siasatan kes kegiatan pengubahan wang haram hasil aktiviti judi dalam talian dan Macau Scam.

Empat pegawai kanan itu, masing-masing seorang berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan, Deputi Superintendan dan Asisten Superintendan serta dua anggota berpangkat Lans Koperal ditahan sejak petang semalam hingga tengah tadi semalam, manakala empat lagi ditahan petang semalam.

Semua anggota terbabit bertugas di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Memetik sumber, pegawai berpangkat ACP itu sudah dibebaskan selepas keterangannya direkodkan, namun seorang lagi pegawai berpangkat Superintendan direman untuk membantu siasatan.

Salahuddin menegaskan, Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah dibentangkan pada bacaan kali pertama di Dewan Rakyat ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Bagaimanapun, katanya, RUU itu ditarik balik untuk ditambah baik selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-undang membuat pendengaran awam bersama kakitangan polis di beberapa negeri.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) cuba menggantikannya dengan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), beliau berpendapat ianya tidak dapat dilaksanakan secara berkesan memandangkan terdapat peruntukan yang mewajibkan IPCC untuk memberikan notis awal sebelum membuat apa-apa lawatan atau semakan terhadap polis.

“Sudah tentu secara logik, prosedur ini mampu mempengaruhi proses siasatan yang mana mereka yang bersalah mempunyai peluang untuk menutup kesalahan mereka.

“Kita sayang polis. Kita tidak mahu skandal kewangan atau apa-apa salah laku berlaku dalam kalangan polis yang turut menjejaskan imej PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast