SHAH ALAM – Hasrat Otai Reformis yang sepatutnya menyerahkan dua memorandum kepada kerajaan negeri Selangor tidak kesampaian berikutan penularan pandemik Covid-19 namun pihaknya sempat berkongsi kandungan dengan MalaysiaGazette sebentar tadi.

Menurut Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, pihaknya sudah muak dengan situasi terkini kerana gangguan air di negeri ini bukanlah sesuatu yang remeh malah setiap alasan tidak lagi boleh di pandang sepi.

“Antara kandungan dalam memorandum Otai Reformis termasuklah memotong RM10 gaji YAB Menteri Besar Selangor kerana gagal menangani isu gangguan bekalan  air yang kerap berlaku Negeri Selangor.

“Otai juga mengesa supaya Ketua Pegawai Operasi syarikat Air Selangor ditukar kadar segera kerana tidak mengambil tindakan proaktif untuk memastikan isu gangguan air ini tidak kerap berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Kata Abdul Razak lagi, pihaknya juga mendesak agar segera diadakan pendengaran awam Selcat kerana kegagalan dan kecuaian syarikat Air Selangor untuk menyediakan bekalan air yang konsisten & berterusan kepada warga Selangor.

Jelasnya, tindakan pemberhentian kerja di Loji-loji Rawatan Air menyebabkan ribuan warga Selangor sengsara tanpa bekalan air.

“Otai berpandangan bahawa Air Selangor cuai ‘menjaga sungai’ yang mengalir ke Loji-loji Rawatan Air bebas dari sebarang influk, kimia, sisa-sisa produk kilang yang mencemarkan air sungai tersebut kerana air sungai itu merupakan ‘aset paling penting’ kepada Air Selangor untuk membekalkan air bersih terawat kepada warga Selangor & KL.

“Laporan media tempatan menunjukkkan tidak kurang 13 kes gangguan air berlaku di Negeri Selangor dalam tempuh 9  bulan pertama tahun 2020.

“Warga Selangor juga terkejut bila diaporkan bahawa berlakunya 744 kes penutupan operasi Loji-loji Rawatan Air dari tahun 2008 hingga ke hari ini.

“Kes pencemaran Sg  Gong di Rawang dan baru-baru ini pencemaran di Loji Sungai Semenyih dan Loji Bukit Tampoi telah menyebabkan lebih kurang 300,000 akaun pengguna putus bekalan air untuk beberapa hari.

“Secara purata hampir sebulan sekali loji -loji utama ini ditutup ekoran pencemaran sungai atau aktiviti pembaikan paip pecah di beberapa lokaliti du Lembah Klang ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Otai mencadangkan agar DUN Negeri Selangor meluluskan Enakmen untuk menjadikan sungai-sungai yang mengalir ke loji -loji rawatan ini dijadikan ‘ zon keselamatan’.

Cadangan itu, katanya, akan membolehkan pihak berkaitan iaitu Air Selangor, LUAS dan JPS dapat mengawal, mengawas dan memantau sungai-sungai ini untuk 24 jam.

“Dengan enakmen ini juga memberi kuasa pihak Kerajaan Negeri untuk memindahkan kilang-kilang, penempatan setinggan dan lain struktur  bangunan yang terletak hampir dengan sungai-sungai tersebut demi menjaga agar sungai-sungai ini tidak tercemar di masa-masa akan datang.

“Otai berpandangan ini boleh dilaksanakan dengan segera memandang kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai lebih dua pertiga majoriti di DUN Selangor.

“Rakyat Selangor sudah letih menunggu lori-lori tangki di tepi jalan dan mengangkut baldi- baldi ke rumah masing-masing setiap kali loji air berhenti operasi

“Satu tindakan drastik harus diambil kadar segera dan seseorang harus dipertanggungjawabkan. Janganlah asyik beri alasan, tuding jari sahaja. Kita hendak tindakan proaktif, itu sahaja,” tegasnya. -MalaysiaGazette

Bekalan air di 4 wilayah pulih