KUALA LUMPUR – Pejabat Kesihatan Lembah Pantai telah mengarahkan Sekolah Kebangsaan Bangsar ditutup bermula jam 12 tengahari tadi sehingga 16 Oktober bagi tujuan sanitasi dan saringan Covid-19.

Perkara tersebut dimaklumkan PKD dalam satu notis yang ditampal di kawasan sekolah berkenaan telah tular di media-media sosial.

Pagi tadi, sebuah akhbar melaporkan tiada seorang pun daripada hampir 800 murid sesi pagi Sekolah Kebangsaan Bangsar hadir ekoran berlakunya jangkitan Covid-19 ke atas dua murid di sekolah berkenaan.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohd. Yazid Mohd. Yassin, pihak pentadbiran melaporkan 100 peratus murid sesi pagi tidak hadir.

Katanya, hanya kakitangan pentadbiran dan guru sahaja yang datang ke sekolah.

Manakala bagi guru yang telah menjalani ujian saringan semalam, perlu menjalani tempoh kuarantin.- MalaysiaGazette