KUALA LUMPUR – Penyedia latihan Penna Writes Resources PLT menganjurkan kursus jahitan baju sekolah khusus untuk golongan B40 yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutinya, Sharen Alzalip berkata, kursus itu mensasarkan golongan dari luar bandar agar mereka dapat menjana pendapatan dengan hasil secara mini pukal.
Katanya, kursus yang mensasarkan perniagaan baju sekolah untuk memenuhi pasaran setempat di Parlimen Bera, akan dikembangkan di mana-mana kawasan lain pada masa depan.
“Peserta akan didedahkan dengan kemahiran asas menjahit bahagian-bahagian baju sekolah secara mini pukal.
“Secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk melibatkan diri dalam perniagaan jahitan baju sekolah bagi memenuhi pasaran setempat.
“Objektif utama kursus ini memastikan kelangsungan hidup mereka dan membuka peluang kepada golongan sasar untuk menjana pendapatan tambahan setelah terjejas dengan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kursus yang dijalankan di Dewan Padang Luas Bera, Pahang itu merupakan inisiatif B40 Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) yang dianjurkan Penna Writes Resources PLT.
Kursus berlangsung selama 11 hari bermula Jumaat, akan berakhir pada 19 Oktober melibatkan 250 peserta yang dibahagikan kepada 2 kumpulan.
Ketua Wanita UMNO Bera, Datuk Sabariah Saidan yang merasmikan kursus itu berkata, program ini memberi dimensi baharu kepada golongan B40 di luar bandar.
“Program ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk menghasilkan baju sekolah, sekali gus memenuhi permintaan pasaran baju sekolah untuk penduduk setempat serta kawasan-kawasan di sekitarnya.
“Kursus ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran peserta, di samping membuka peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan mereka,” tambah baliau. – MalaysiaGazette
















