WASHINGTON – Pakar virus utama di Amerika Syarikat mengkritik White House kerana menganjurkan acara yang boleh dikaitkan dengan penularan Covid-19.
Dr Anthony Fauci, yang juga anggota petugas khas koronavirus White House berkata, majlis untuk mengumumkan calon hakim yang dibuat oleh Presiden Donald Trump itu adalah ‘acara penularan besar-besaran’.
Acara itu diadakan pada 26 September lalu ketika Trump mengumumkan Amy Coney Barrett sebagai Hakim Mahkamah Agung.
Majlis itu dianggap punca penularan wabak Covid-19 di White House kerana berpuluh-puluh kakitangan White House dan individu yang hadir dalam acara itu telah dijangkiti Covid-19.

Sebenarnya, perhimpunan besar-besaran masih dilarang di ibu negara Amerika Syarikat itu dalam usaha membendung penularan Covid-19 tetapi White House telah dikecualikan.
Mengulas pertanyaan CBS News yang bertanya tentang keengganan White House memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial dan hanya bergantung kepada ujian biasa, Fauci berkata: “Data menunjukkan bukti k diri mereka sendiri – kita mengadakan acara penularan di White House dalam situasi orang ramai berkumpul beramai-ramai dan tidak memakai pelitup muka”.
Fauci berkata, pakar-pakar telah mencadangkan pemakaian pelitup muka sejak enam bulan lalu dan mengutuk sebarang perbincangan tentang “penyembuhan” koronavirus – kenyataan yang telah digunakan oleh Trump untuk merujuk kepada rawatan eksperimental Covid-19 yang diterimanya ketika dirawat di hospital tentera. – MalaysiaGazette
















