Sistem cukai baharu termasuk GST yang lebih efektif tidak harus ditolak sepenuhnya. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan tidak akan mengaktifkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam pembentangan Bajet 2021 pada 6 November.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagaimanapun tidak menolak kemungkinan rejim cukai itu diperkenalkan pada beberapa tahun akan datang pada masa yang sesuai.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, kerajaan perlu memperluaskan dan mempelbagaikan sumber cukai demi kepentingan jangka masa sederhana dan jangka panjang.

Katanya, sistem cukai baharu termasuk GST yang lebih efektif tidak harus ditolak sepenuhnya.

“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada mempunyai kelemahan tertentu yang menyebabkan kerajaan kehilangan antara RM20 bilion hingga RM30 bilion hasil cukai.

“Kami perlu kaji (pengaktifan GST) terlebih dahulu kerana negara memerlukan satu sistem cukai yang lebih efektif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi,” kata Tengku Zafrul dalam wawancara bersama Nanyang Siang Pau.

Ditanya mengenai kemungkinan kadar GST dikekalkan pada enam peratus seperti sebelum ini, beliau berkata, perkara itu masih memerlukan penelitian dan analisis.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan GST pada kadar enam peratus, tetapi rejim cukai itu dibatalkan kerajaaan Pakatan Harapan (PH) yang menggantikannya dengan SST.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pelaksanaan SST, tetapi semakin ramai pertubuhan perniagaan dan perindustrian serta pakar ekonomi yang menyaran GST diaktifkan semula. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kejayaan DApigs hapuskan GST… Sudah ada kebocoran 30billion… Yang untung tauke2 dapat cilok RM20billion. Tahniah DApigs dan anjing Anjing2 mereka…

Comments are closed.