PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

DUNGUN – Lima lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat ditahan pagi tadi kerana disyaki merogol seorang murid tahun enam pada 29 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharuddin Abdullah berkata kesemua suspek berusia antara 16 hingga  23 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 hingga 6.30 pagi tadi selepas ibu mangsa membuat laporan polis semalam.

“Dalam kejadian 29 Sept lepas, kira-kira pukul 9 malam, mangsa yang sedang menunggang motosikal berseorangan untuk mengambil ibunya yang berniaga di pasar malam, tiba-tiba dihimpit sebuah motosikal dinaiki dua suspek yang mengarahkan mangsa memberhentikan motosikalnya.

“Salah seorang suspek yang dikenali mangsa kemudiannya menunggang motosikal milik mangsa dan membawa mangsa bersamanya ke sebuah ladang sawit sebelum merogol mangsa bersama empat rakannya yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, di sini hari ini.

Baharuddin berkata ketika kejadian salah seorang suspek turut merampas telefon bimbit milik mangsa bagi mengelakkan mangsa daripada meminta bantuan.

Menurut beliau, kejadian itu hanya terbongkar selepas ibu mangsa menyedari perubahan sikap anaknya yang bertukar murung, sebelum mangsa menceritakan kejadian tersebut dan dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Kesemua suspek direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan.

— BERNAMA