Zlatan Ibrahimovic

ITALI – Penyerang veteran AC Milan, Zlatan Ibrahimovic akhirnya dibenarkan menamatkan tempoh kuarantin dan kini boleh kembali beraksi selepas didapati negatif Covid-19, umum kelab Serie A itu.

Milan dalam satu kenyataan, mengesahkan pemain antarabangsa Sweden itu didapati negatif dalam dua ujian berturut-turut yang menjadi sebahagian daripada prosedur bagi menamatkan tempoh kuarantin.

“Saya telah pulih!. Pihak berkuasa berkata tempoh kuarantin sudah tamat, saya boleh beraksi!,” tulis Ibrahimovic di laman media sosialnya.

Pengumuman itu hadir sehari selepas Milan berkata penyerang berusia 39 tahun itu positif Covid-19 buat kali kedua sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dia boleh beraksi apabila bertemu seteru setempat, Inter Milan pada 17 Oktober ini.

Kali pertama Ibrahimovic didapati positif adalah pada 24 September lalu.

Pertembungan setempat itu masih mencetuskan keraguan selepas dua pemain Milan dan lima pemain Inter ketika ini menjalani tempoh kuarantin.

Ketiadaan Ibrahimovic tidak menjejaskan permulaan baik Milan dalam saingan Serie A selepas mencatat kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan liga dan kini menduduki tangga kedua liga di belakang Atalanta walaupun kedua-dua pasukan berkongsi sembilan mata. – MalaysiaGazette