Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal memantau kenderaan yang masu pada sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 masuk hari ke 24 susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan PJU 7/1, Mutiara Damansara. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Petaling Jaya terpaksa menjalani proses kuarantin kendiri selama 14 hari selepas dikesan sebagai kontak rapat kepada pegawai perubatan yang mengendalikan kes positif Covid-19 di Asrama Tropiciana Golf, Damansara, Petaling Jaya.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, proses kuarantin kendiri di rumah bermula serta-merta hari ini.

“Saya bermesyuarat hari-hari dengan doktor itu.

“Doktor itu kontak rapat kepada seorang Ketua Pengawal Keselamatan yang dikesan positif Covid-19 di asrama pekerja Tropicana Golf yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) mulai hari ini.

“Saya belum swab test kerana masih menunggu keputusan swab test (calitan) doktor berkenaan (kontak rapat kepada kes positif), kalau results dia (doktor) ok ataupun tak ok (positif), saya akan tetap teruskan kuarantin kendiri 14 hari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, beliau masih sihat dan tidak bergejala dan akan menjalani ujian calitan swab test selepas keputusan doktor itu diketahui kelak.

Nik Ezanee mengakui terkejut apabila mendapati doktor yang bermesyuarat setiap hari bersama beliau menjadi kontak rapat.

“Tapi lega sebab tidak bergejala dan tak perlu pakai gelang merah jambu, sekadar kuarantin kendiri memadai kalau ikutkan nasihat pegawai kesihatan,” katanya.

Terdahulu pagi tadi beliau telah hadir ke lapangan pelaksanaan PKPDB di Asrama pekerja Tropicana Golf selepas seramai 23 kakitangannya disahkan positif Covid-19 dan pertambahan 12 kes pada Isnin selepas keputusan ujian saringan diperoleh.

Justeru katanya, polis telah membuka kertas siasatan terhadap kelab Golf Tropicana itu kerana dipercayai ingkar PKP dan meneruskan aktivitinya walaupun diberi notis penutupan semalam susulan beberapa pekerjanya positif Covid-19.

Pihaknya menerima laporan di Balai Polis Damansara daripada pihak KKM semalam yang mendakwa premis berkenaan yang sepatutnya ditutup mulai Ahad, telah melanggar syarat arahan penutupan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar PKP,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

23 kakitangan Tropicana Golf sah positif Covid-19

Kelab golf ingkar arahan PKP