Anggota bomba dan penyelamat memeriksa rumah teres di Jalan Belalang Dua, Kepong Baru yang musnah terbakar malam tadi hingga mengorbankan seorang warga emas. pix: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres di Jalan Belalang Dua, Kepong Baru, di sini selepas kediamannya terbakar dalam kejadian malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 74 tahun itu ditemui meninggal dunia akibat melecur seluruh badan dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu.

“Pihak PGOKL terdahulu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan dan menghantar jentera bomba ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba menemukan sebuah rumah teres satu tingkat kekal dipercayai terdapat seorang mangsa di dalamnya yang terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, bomba kemudiannya melakukan pemadaman dan hasil pencarian menemukan mangsa yang mempunyai penyakit strok, dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelasnya, unit pengesan K-9 telah dipanggil ke lokasi untuk mengenal pasti punca kebakaran. – MalaysiaGazette