Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pembangkang sepatutnya membentangkan satu pelan yang lengkap secara rasmi berhubung langkah menangani penularan pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau membaca kritikan para pemimpin parti pembangkang yang menyalahkan kerajaan di atas kenaikan angka jangkitan wabak berkenaan kebelakangan ini.

Katanya, pelbagai tohmahan dilontarkan seolah-olah kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin bertanggungjawab sepenuhnya di atas penularan wabak tersebut yang menunjukkan angka peningkatan sejak akhir-akhir ini.

“Jika hanya menuding jari kepada kerajaan selepas berlakunya peningkatan, sesiapa sahaja boleh melakukannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, barangkali pihak-pihak yang menyalahkan kerajaan terlupa bahawa mereka jugalah yang bertegas untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika negara sedang berdepan krisis pandemik.

Malah katanya, salah seorang bekas menteri begitu yakin apabila menyebut bahawa selepas PRN Sabah berakhir, angka jangkitan Covid-19 akan turun mendadak.

Katanya, ia berasaskan keyakinan kononnya angka jangkitan yang menaik ini dikatakan hanyalah sandiwara kerajaan pusat semata-mata.

“Siapakah pula yang mencadangkan agar pesakit-pesakit yang sedang dikuarantin dibenarkan untuk mengundi jika bukan pemimpin pembangkang?

“Siapakah pula yang menyerang kenyataan Menteri Kesihatan yang sedang mempertimbangkan untuk meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung selepas urusan PRN selesai kalau bukan bekas Menteri dari Pakatan Harapan?

“Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan ini sebenarkan secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan pusat untuk tidak bertindak lebih tegas dalam menangani penularan wabak pandemik yang merbahaya ini.” ujarnya.

Justeru, selain daripada pelan Ketua Pembangkang, Datuk Seri anwar Ibrahim yang merancang untuk mengadap Yang diPertuan Agong di Istana pada hari esok, pelan menangani Covid-19 ini juga sepatutnya dipersembahkan kerana rakyat ingin tahu dan membuat penilaian. – MalaysiaGazette