Kelihatan pekerja premis makanan sedang mencuci cermin untuk menutup kedai selepas Majlis Perbandaran Tawau mengeluarkan notis perubahan dan menghadkan masa operasi kedai makan serta restoran bermula 6 pagi hingga 6 petang berkuatkuasa pada 21 September bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Sekitar Bandar Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran Ogos 2020 kekal pada 4.7 peratus dengan pengurangan kecil bilangan penganggur berbanding Julai 2020 kepada 741,600 orang.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penganggur pada Ogos 2020 menurun secara marginal sebanyak 3,500 orang (-0.5%) kepada 741.6 ribu orang berbanding Julai 2020.

Sementara itu, guna tenaga terus meningkat susulan lebih banyak pembukaan semula aktiviti ekonomi mulai Julai 2020 termasuk aktiviti pelancongan, pendidikan dan kesenian, hiburan dan rekreasi.

Pada bulan tersebut, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus (Julai 2020: 0.6%) kepada 15.15 juta orang berikutan peningkatan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan terutamanya di aktiviti perdagangan borong dan runcit; penginapan dan makanan & minuman serta maklumat dan komunikasi.

Selaras dengan itu, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan meningkat 0.3 mata peratus bulan ke bulan kepada 65.2 peratus (Julai 2020: 64.9%).

Dari segi status pekerjaan, kategori pekerja meningkat sebanyak 72,600 orang berbanding bulan sebelumnya dengan merekodkan 11.72 juta orang.

Guna tenaga yang bekerja sendiri merangkumi 2.42 juta orang, mencatat pertumbuhan positif buat pertama kalinya sejak April 2020 sementara itu, hanya 102.0 ribu penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu berbanding 104, 300 orang yang direkodkan pada bulan Julai 2020.

Kumpulan ini, yang kemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja.

Dengan situasi penduduk bekerja dan penganggur pada Ogos 2020, tenaga buruh pada bulan ini adalah sebanyak 15.90 juta orang (Julai 2020: 15.82 juta orang).

Menurutnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus, sementara itu, luar tenaga buruh turun 0.7 peratus kepada 7.35 juta orang.

Komposisi terbesar luar tenaga buruh disebabkan oleh persekolahan, diikuti dengan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, pembukaan semula sektor ekonomi secara berterusan, menyaksikan kedudukan tenaga buruh Malaysia semakin pulih pada Ogos 2020.

Namun begitu, pemulihan berterusan ini tertakluk kepada situasi Covid-19 dalam negara. – MalaysiaGazette