KUALA LUMPUR –  Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak memuji karakter semua pemainnya yang mampu bangkit daripada tekanan sebelum meraih tiga mata yang cukup berharga di Stadium Perak, Ipoh bagi membawa Kedah meraih kedudukan naib juara CIMB Liga Super serta slot ke Piala AFC 2021.

Walaupun tuan rumah, Perak menyamakan kedudukan 2-2 sebelum separuh masa pertama berakhir, Aidil kagum melihat pemain-pemain Kedah tidak terkesan dengan semangat juang dipamerkan oleh lawan, sebaliknya berjaya meraih gol ketiga menerusi Renan Alves pada minit-63 sekali gus jaringan kemenangan pada aksi minggu ke-11 CIMB Liga Super.

Menurut Aidil, semasa di bilik persalinan iaitu sebelum bermulanya babak kedua, pemain-pemain juga telah diingatkan sesama sendiri agar jangan sesekali tunduk mengalah sekiranya mahu merasai pengalaman bermain di pentas Asia.

“Semua pemain kena saya bagikan kredit kerana hari ini, saya jelas nampak kesungguhan mereka hendak menang dan mentaliti mereka cukup kuat walaupun ada satu ketika Perak tampilkan semangat juang yang hebat untuk bangkit.

“Sebaik kami berjumpa di bilik persalinan, bukan saya sahaja berikan kata-kata semangat tetapi dalam kalangan pemain, mereka tahu ini adalah sesuatu yang mereka inginkan sejak beberapa tahun lalu dan sudah lama rasanya Kedah berjaya menamatkan saingan liga di tangga kedua.

“Bagi saya secara peribadi, ini adalah sesuatu yang begitu menggembirakan kerana sebelum ini saya membawa Kedah ke play-off ACL (Liga Juara-juara Asia) dan tahun ini, kami akan ke Piala AFC pada musim depan.

“Hati saya kini dalam 80 ke 90 peratus masih bersama Kedah (musim depan) kerana saya suka segala-galanya di sini cuma saya akan buat keputusan selepas berjumpa dengan pihak pengurusan sebaik tahu apa hala tuju serta visi Kedah di masa depan, ” katanya.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, melihat gol ketiga dijaringkan oleh Alves pada pertengahan separuh masa kedua telah membunuh semangat perjuangan pemain.

Dalam masa sama, beliau mengakui ketiadaan dua tonggak utama, Shahrul Saad yang digantung satu perlawanan kerana telah mengumpul tiga kad kuning serta Guiherme de Paula yang berdepan masalah kecederaan, memberikan sedikit kesan kepada prestasi pasukan.

Namun, Mehmet tetap berpuas hati dengan pemain yang telah menggantikan tempat mereka berdua iaitu Idris Ahmad dan Careca sambil berbangga melalui pencapaian berada di tempat keempat musim ini.

“Pemain saya telah berikan segalanya cuma gol ketiga daripada situasi ‘set piece’ telah membunuh kami dan inilah bola sepak, tahniah kepada Kedah yang menang pada perlawanan ini.

“Idris (Ahmad) yang bermain di barisan pertahanan telah melakukan apa yang dia mampu dan tuah juga tidak menyebelahi kita selain Shahrel Fikri sebenarnya juga terpaksa beraksi dalam kesakitan ekoran belum pulih daripada kecederaan.

“Berada di tempat keempat dalam liga sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang memuaskan kerana sebelum musim ini bermula, ramai menjangkakan akan berada di tempat keenam atau ketujuh kerana kehilangan beberapa pemain utama ke pasukan lain,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Kpah Sherman dan Fadzrul Danel masing-masing meletakkan Kedah di hadapan pada minit-28 dan-31 sebelum Leandro dos Santos menyamakan kedudukan melalui dua gol pantas pada minit-42 dan 45+3.

Namun, Alves memusnahkan hajat Perak yang memerlukan kemenangan dalam perlawanan itu apabila tandukkanya pada minit-63 berpunca daripada sepakan sudut Baddrol Bakhtiar memberikan gol kemenangan kepada Kedah untuk mengesahkan tempat mereka selaku naib juara melalui pungutan 22 mata .

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,Kuala Terengganu, tempat ke-3 CIMB Liga Super menjadi milik Terengganu FC apabila menewaskan pasukan jiran,Pahang 2-1.

Nik Sharif Haseefy meletakkan Pahang di hadapan pada minit-13 tetapi Dominique Da Slyva menyamakan kedudukan pada minit-16 melalui sepakan penalti sebelum ketua pasukan, Lee Tuck muncul wira Terengganu FC dengan gol kemenangan pada minit-82.

Aksi pada Sabtu memperlihatkan juara CIMB Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kempen dengan penuh bergaya apabila membenam Melaka 5-0 di Stadium Hang Jebat untuk kekalkan rekod tanpa kalah.

JDT berjaya meraih semua jaringan itu dalam tempoh 20 minit terakhir permainan bermula daripada Leandro Velazquez pada minit 70, diikuti Syafiq Ahmad(minit-75), Aidil Zafuan(minit-79), Fernando Rodriguez (minit 84) dan Gonzalo Cabrera (minit 90+3).

Selangor juga berpesta jaringan menewaskan Felda United, 6-1 di Stadium UiTM Shah Alam, bagi mengesahkan tempat mereka dalam antara enam pasukan terbaik CIMB Liga Super.

Brendan Gan membuka tirai jaringan pada minit-13 sebelum Danial Amier menyamakan kedudukan pada minit-33 buat Felda namun jalan ceritanya berbeza di separuh masa kedua.

Ifedayo Omosuyi meledak hatrik pada minit-45, 62 dan 88 yang sekaligus mengesahkan dirinya selaku pemenang kasut emas dengan 12 jaringan manakala Sandro da Silva menambah dua gol pada minit-70 dan-78.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PJ City tidak berdepan banyak masalah menewaskan PDRM dengan keputusan 4-1.

Washington Brandao menjaringkan dua gol pada minit -42 dan-70 selain bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali pada minit -55 serta R. Kogileswaran pada minit-66 manakala gol saguhati PDRM melalui Serdar Geldiyev, pada minit-81. – MalaysiaGazette