Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menafikan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah mulai semalam terlalu lambat dilakukan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memutuskan untuk memantapkan tahap perkhidmatan kesihatan di negeri itu termasuk menambah bilangan petugas kesihatan dan peruntukan kewangan selain memperketatkan kawasan sempadan bagi mengelakkan pencerobohan oleh pendatang tanpa izin.

“Masih belum terlambat apa yang kita putuskan semalam dan kita telah pun mengesahkan keputusan kita berkaitan Sabah.
“Saya boleh jelaskan mengenai apa yang kita telah buat, sebagai contohnya dalam hal ehwal perubatan dan penjagaan kesihatan.

“Apa yang Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah lakukan adalah yang terbaik dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19 di Sabah termasuk menambah petugas barisan hadapan.

“Kami telah meluluskan permohohan berkaitan perjawatan jururawat dan doktor yang diambil menerusi kontrak seperti sebelum ini, bagi memenuhi keperluan Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga mempertingkatkan pemantauan di sempadan perairan Sabah, dengan menambah aset keselamatan dan jumlah pihak berkuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan sebagainya.

“Yang menyulitkan kita (kerajaan) untuk bertindak di sana (Sabah), adalah kes peningkatan Covid-19 membabitkan pendatang asing tanpa izin kerana terdapat banyak laluan tikus yang mereka gunakan untuk ceroboh negara. Sebab itu Majlis Keselamatan Negara mengambil keputusan meningkatkan kawalan di kawasan itu,” katanya.

Katanya kawalan sempadan terutama perairan timur Sabah akan terus diperketatkan, dalam usaha membanteras kemasukan haram pendatang tanpa izin Indonesia dan Filipina.

Tambahnya, semua pendatang tanpa izin yang berjaya diberkas pihak berkuasa dihantar balik ke negara asal masing-masing.

Muhyiddin juga mempertahankan keputusan Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya dengan alasan peningkatan jumlah kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Keputusan kerajaan melaksanakan PKPB di seluruh negeri mulai esok hingga 27 Oktober semalam mengejutkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana berbeza dengan keputusan Majlis Keselamatan Negeri.

Menurut Muhyiddin, di Selangor, pada peringkat awal hanya dua daerah dan kini sudah banyak merebak ke kawasan lain dan penjelasan itu kini sudah diterima baik oleh Amirudin.

“Kita juga ada pengalaman di Sabah, kita tak mahu tunggu lama baru nak bertindak,” kata Muhyiddin pada sidang media hari ini. – BERNAMA