Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik UMNO di PWTC.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis ini.

Perkara itu dimaklumkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memberitahu, pertemuan tersebut akan berlangsung di Istana Negara pukul 5 petang.

“Ingin saya maklumkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Khamis ini pukul 5 petang,” katanya tanpa menyatakan lanjut mengenai pertemuan tersebut.

Menurut Ahmad lagi, pertemuan Ahmad Zahid dengan Seri Paduka Baginda itu nantakan disusuli dengan pemimpin parti-parti politik seperti Lim Guan Eng (DAP), Mohamad Sabu (Amanah) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) yang turut dipanggil ke istana.

Katanya, pertemuan itu adalah susulan daripada perjumpaan yang dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar mengadakan pertemuan dengan baginda kira-kira 25 minit hari ini untuk mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya.

Dalam sidang media selepas pertemuan tersebut, Ketua Pembangkang itu memaklumkan bahawa baginda akan memanggil ketua-ketua parti politik untuk menghadap bagi mendapatkan pandangan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong akan panggil ketua-ketua parti politik, kata Anwar

Malaysia menyaksikan perubahan kerajaan buat pertama kali dalam tempoh lebih 60 tahun apabila Barisan Nasional (BN) ditumbangkan Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, pentadbiran PH pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu hanya bertahan selama 22 bulan apabila kemelut dalam menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan pada 29 Februari lalu.

Ura-ura perubahan tampuk pemerintahan buat kali ketiga di Malaysia pula bermula apabila Anwar mengumumkan memiliki sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan, dalam sidang medianya pada 23 September lalu.

Mesyuarat Biro Politik UMNO yang diadakan hari ini berlangsung hampir lima jam dengan agenda mesyuarat diadakan dua sesi.

Beberapa pemimpin UMNO yang ditemui mengunci mulut sambil memberitahu kenyataan media akan dikeluarkan kemudian. – MalaysiaGazette