Datuk Seri Ahmad Maslan menunjukkan kenyataan media keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC.

KUALA LUMPUR – UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar pendaftaran gabungan itu didaftar segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah.

“UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak yang berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“UMNO berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan.

“Sebarang keputusan yang UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato, PWTC di sini sebentar tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan, Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat pada malam ini turut dipersetujui sebulat suara oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di setiap negeri-negeri tanpa ada sebarang bantahan.

Katanya, UMNO akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Apa lagi korang ni..tak habis2..tunggu laaa PRU..duk sibuk berebut kuasa masa rakyat tgh susah ni

  2. Ayat tak bleh blah, kami berjuang utk rakyat. Padahal berjuang utk ketua sendiri jd PM. #rakyatjagarakyat

Comments are closed.