Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu telah dikemukakan dan dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Jawatankuasa khas akses bekalan vaksin Covid-19 ini akan memastikan bekalan vaksin COVID-19 dapat diperolehi dengan kadar segera, selamat dan sempurna.

“Jawatankuasa Khas ini akan diketuai secara bersama oleh Datuk Seri Dr. Adham Baba selaku Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) dan saya selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, ia akan berperanan dalam menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin Covid-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia,” katanya.

“Menerusinya jawatankuasa ini, beberapa Jawatankuasa Kecil (JKK) dengan skop tugas seperti pemilihan vaksin, komunikasi, pendaftaran dan kelulusan, trade facilitation, kewangan, penstoran, logistik dan pengangkutan serta pengagihan vaksin akan turut dibentuk merentasi pelbagai kementerian dan agensi bagi memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan tugas ini.

“Keputusan penubuhan Jawatankuasa Khas ini adalah penting bagi memastikan persediaan awal yang rapi dibuat sebelum bekalan vaksin diterima untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette