KPDNHEP berjaya melupuskan barang tiruan yang selesai dibicara dan dijatuhkan hukuman mahkamah dalam satu majlis di Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelbagai barang tiruan bernilai lebih RM2.11 juta melibatkan 16 kes siasatan dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Shah Alam hari ini.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, antara barang tiruan yang dilupuskan adalah seluar jeans, tablet, alat ganti kenderaan, beg tangan dan dompet yang menggunakan jenama popular.

Kata beliau, rampasan barang tiruan ini membabitkan siasatan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagang 2019 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

“Kesemua barang ini dilupuskan setelah kesemua kes selesai dibicara dan dijatuhkan hukuman sebelum mendapat kelulusan dan perintah mahkamah untuk tindakan pelupusan barang tiruan tersebut,” katanya selepas Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 dekat sini.

Tambah beliau, sejak Januari hingga Oktober 2020 ini secara keseluruhannya sebanyak 243 kes melibatkan jumlah RM3.29 juta barang tiruan berjaya dilupuskan KPDNHEP negeri.

Menurut beliau, sepanjang serbuan dan operasi banteras barang tiruan itu, pihak KPDNHEP telah mengesan pelbagai modus operandi yang digunakan oleh sindiket jualan barang tiruan.

“Kalau kita lihat modus operandinya ada suspek sindiket beroperasi di premis tidak berdaftar, jualan di pasar malam atau ‘uptown’ selain bergiat aktif menjual produk tiruannya dalam talian dan kesemua barang palsu menggunakan jenama terkemuka itu sebenarnya dibawa masuk dari luar negara mahu pun dari dalam negara.

“Menyedari hakikat ini, KPDNHEP Selangor memberi amaran keras kepada peniaga agar tidak terlibat menjual barang tiruan atau berdepan tindakan tegas tanpa kompromi dan kami bersedia menggempur mereka tidak kira apa jua taktik licik cuba digunakan mengaaburi mata kami.

“Pada masa yang sama, para pengguna juga perlu bijaksana dan tidak membeli barangan tiruan sebaliknya segera melaporkan kepada mana-mana cawangan KPDNHEP sekiranya terhidu atau melihat penjualan barang tiruan berjenama untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang,” tegas beliau.