Pusat beli-belah One Utama.

KUALA LUMPUR – Kompleks membeli belah One Utama menafikan terdapat 63 kes positif Covid-19 yang dikenal pasti seperti yang dilaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling (JBDP) baru-baru ini.

Pihak pengurusan pusat membeli belah tersebut berkata, menerusi saringan yaang dibuat terhadap 6,000 kakitangan penyewa kedai (premis) dan termasuk kakitangan, sebanyak 21 didapati positif Covid-19.

“Daripada 6,000 semalam, kami telah membuat kesimpulan bahawa keputusan ujian saringan telah mengenal pasti sebanyak 20 kakitangan penyewa premis dan seorang kakitangan pengurusan positif Covid-19. Kesemua 21 individu ini telah diasingkan untuk menjalani kuarantin dan rawatan bagi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menjalani pengesanan kontak rapat,” kata pihak pengurusan kompleks beli-belah itu.

One Utama turut menjelaskan laporan mengenai 44 kes positif wabak berkenaan dalam kalangan pengawal keselamatan pusat membeli belah itu juga tidak benar sama sekali.

“Kami di sini juga mahu mengesahkan  44 kes Covid-19 positif dalam kalangan pengawal keselamatan yang disebut oleh JBDP bukan dari One Utama dan ia bukan daripada 6,000 yang menjalani saringan yang kami lakukan. Sebaliknya pengawal keselamatan ini daripada sumber luar daripada pihak ketiga.

“Selepas KKM mengesahkan salah seorang daripada pegawai keselamatan sumber luar itu positif, pihak kami tidak lagi menggunakan daripada sumber itu,”jelas kenyataan itu lagi.

Untuk rekod, One Utama ditutup Kompleks  14 hari bermula 11 Oktober 2020 susulan empat kes positif Covid-19, tiga melibatkan pekerja dan satu kes pengunjung telah dikenalpasti baru-baru ini.-MalaysiaGazette