Anggota bomba melakukan proses dekontaminasi selepas selesai melakukan operasi sanitasi di sekitar pasar susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa hari ini sehingga 27 Oktober depan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Pasukan Sanitasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya melakukan proses sanitasi di Pasar Awam Presint 8 di sini dalam usaha membasmi penularan virus pandemik Covid-19 di kawasan tersebut.

Timbalan Penguasa Bomba, Che Shaari Abdullah yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bersama dengan Perbadanan Putrajaya, SWCorp dan Alam Flora Sdn. Bhd. melibatkan kakitangan seramai 20 orang.

Beliau menjelaskan, sanitasi itu dilakukan atas permintaan Perbadanan Putrajaya selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa pasar tersebut adalah berisiko tinggi bagi jangkitan Covid-19.

“Pasar awam ini sering menjadi tumpuan masyarakat di sini dan proses sanitasi ini merupakan satu langkah pencegahan penularan virus Covid-19.

“Dengan pembahagian tugas yang ditetapkan, tempoh proses sanitasi ini mengambil masa selama sejam 30 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas memberi taklimat kepada agensi terbabit di Ibu Pejabat Bomba Putrajaya di sini hari ini ini.

Che Shari berkata, pihaknya sentiasa mengadakan proses sanitasi mengikut permintaan pelbagai pihak sekiranya terdapat kes yang melibatkan Covid-19.

Jelas beliau, sehingga kini, sebanyak 14 proses sanitasi awam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.

Katanya, proses itu melibatkan tempat dan premis yang dikunjungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang sebelum ini disahkan positif Covid-19.

“Bomba sentiasa melakukan proses sanitasi secara berterusan walaupun sebelum PKPB dilaksanakan di Putrajaya semalam.

“Proses ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan sejak gelombang ketiga, ini kali-15 proses sanitasi diadakan,” katanya. – MalaysiaGazette