Paip air utama pecah

KUALA LUMPUR – Bekalan air di 15 kawasan yang terjejas di Shah Alam dan Klang akibat paip pecah yang berlaku berhampiran pencawang elektrik di Jalan Bukit Raja dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah hari ini.

Air Selangor berkata, kerja pembaikan paip pecah telah siap sepenuhnya pada jam 4 pagi tadi.

“Pengguna telah mula menerima bekalan air seawal 4:30 pagi dan pemulihan bekalan air ke 15 kawasan terjejas adalah secara berperingkat-peringkat berdasarkan jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan,” kata Air Selangor menerusi Facebook.

Pengguna disarankan mendapatkan maklumat terkini di medium komunikasi Air Selangor yang rasmi iaitu di Facebook, Twitter dan Instagram serta aplikasi telefon pintar serta laman sesawang www.airselangor.com.

Untuk rekod, semalam Air Selangor terpaksa menghentikan bekalan air kepada 15 kawasan di Klang dan Shah Alam bermula 10.30 malam tadi untuk melaksanakan kerja pembaikan paip pecah itu.-MalaysiaGazette