KUALA LUMPUR – Soalan lazim (FAQ) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020 bagi aktiviti keagamaan dan surau.
1.Bagaimanakah dengan aktiviti masjid dan surau sepanjang tempoh PKPB ini?
Semua aktiviti masjid dan surau seperti kuliah, ceramah, majlis akad nikah, walimatul urus dan lain-lain adalah tidak dibenarkan.
2.Adakah aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan?
Ya. Solat berjemaah di masjid dan surau juga tidak dibenarkan kecuali bagi jemaah yang tidak melebihi enam orang termasuk imam atau mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri bagi setiap solat lima waktu sebagai menegakkan syiar berjemaah.
3.Adakah azan boleh dikumandangkan di masjid dan surau?
Ya. Azan dibenar untuk dikumandangkan bagi menandakan masuknya waktu solat fardu. Digalakkan bagi bilal yang melaungkan azan untuk memaklumkan kepada penduduk di sekitar dengan menggunakan pembesar suara supaya solat berjemaah boleh dilakukan di rumah atau di tempat masing-masing seusai azan dikumandangkan.
4.Adakah penggunaan pembesar suara dibenarkan untuk melaungkan azan?
Ya. Pembesar suara boleh digunakan ketika melaungkan azan sahaja.
5.Adakah surau yang bukan terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri seperti surau di pasar raya, hentian R&R, pejabat dan seumpamanya dibenarkan untuk didirikan solat?
Surau yang bukan terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri juga tidak dibenarkan untuk beroperasi. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa agama negeri boleh memberi kebenaran kepada surau-surau berkenaan untuk didirikan solat dengan arahan dan SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
6.Bagaimana pekerja Muslim di pasar raya, pejabat atau seumpamanya boleh menunaikan solat sekiranya surau di tempat berkenaan tidak dibenarkan untuk dibuka?
Pihak majikan boleh mengambil tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan solat khusus buat pekerja Muslim. Solat boleh ditunaikan di mana-mana sahaja dengan syarat-syarat tertentu seperti berwuduk, suci pakaian dan tempat solat, menutup aurat serta menghadap kiblat.
7.Bagaimana mahu mengambil wuduk seandainya tidak dapat mendirikan solat di masjid dan surau?
Wuduk boleh diambil walaupun tidak di masjid atau di surau dengan menggunakan air yang dibawa sendiri seperti air mineral dan seumpamanya.
8.Bolehkah pihak masjid dan surau menyediakan ruang khusus untuk golongan yang bermusafir, pemandu kenderaan, penghantar makanan dan barangan atau seumpamanya untuk menunaikan solat pada bila-bila masa?
Tidak. Pihak masjid dan surau tidak dibenar untuk menyediakan ruang khusus kepada golongan musafir dan seumpamanya bagi menunaikan solat KECUALI sekiranya pihak berkuasa agama negeri membenarkan.
9.Adakah solat Jumaat juga tidak dibenarkan?
Ya. Solat Jumaat adalah ditangguhkan dan hendaklah digantikan dengan solat Zohor sepanjang tempoh PKPB ini. Walau bagaimanapun, perkara ini perlu diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.
10.Sekiranya berlaku kematian dalam kalangan anak kariah, bolehkah jenazahnya diuruskan di masjid dan surau?
Sekiranya berlaku kematian biasa dan memerlukan kemudahan masjid dan surau untuk pengurusan jenazah, maka pihak masjid dan surau boleh dengan kebenaran pihak berkuasa agama negeri menguruskan jenazah di masjid dan surau mengikut SOP yang ditetapkan.
Catatan:
1) Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak – individu, badan, persatuan sukan, syarikat / operator fasiliti terbuka untuk memahami dan mematuhi semua arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga SOP Pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kita sama-sama mengurangkan risiko dan membendung penularan pandemik Covid-19 ini.
2) Sebarang perubahan terkini sejajar dengan arahan terbaru pihak MKN dan KKM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette