Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 04 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pendirian itu senada dengan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu seterusnya memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Beliau yakin terhadap kebijaksanaan barisan kepimpinan UMNO untuk membawa hala tuju parti berkenaan demi kepentingan rakyat.

“Wanita UMNO Malaysia sebagai tulang belakang parti akan sentiasa komited dan teguh dengan keputusan parti iaitu tegas senada bersama keputusan mesyuarat Ahli MKT UMNO yang telah mempersetujui agar ‘no DAP’, tidak ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan DAP dan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional,” katanya menerusi kenyataan.

Noraini dalam masa yang sama berharap semua ahli parti tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan keharmonian dalam parti.

“Jadi, marilah kita terus mengukuhkan benteng parti bagi memastikan tiada lubang yang boleh ditembusi pihak lawan yang mahu melihat parti keramat ini tenggelam,” katanya lagi.

Semalam Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO konsisten tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP seperti yang diputuskan pada mesyuarat sebelum ini.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein merangkap Menteri Luar Negeri turut menyuarakan penolakan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan tidak mahu bekerjasama dengan DAP. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.