Jalan Montmartre kosong tanpa penghuni ketika Perancis melaksanakan perintah berkurung bagi membendung penularan wabak koronavirus. foto Reuters

PARIS – Jalan-jalan raya di Paris dan lapan bandar lain di Perancis kosong dan sunyi pada malam Sabtu selepas negara ini menguatkuasakan perintah berkurung dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Presiden Perancis Emmanuel Macron minggu lalu memerintahkan perintah berkurung setiap malam di bandar-bandar yang menyaksikan kes koronavirus paling aktif.

Kes-kes jangkitan koronavirus di negara ini dilaporkan ada kaitan dengan penganjuran  majlis-majlis keramaian dan persendirian dan tindakan segera diperlukan.

Jika tidak, hospital berisiko ditimpa bencana.

Walaupun orang ramai memahami perlunya membendung virus itu, namun pemilik-pemilik restoran mengingatkan bahawa penutupan tersebut akan memberi kesan terhadap sektor yang telah mengalami kerugian besar ketika ia ditutup pada musim bunga.

“Pasti akan ada pekerja yang akan kehilangan pekerjaan, beberapa restoran akan muflis.

“Ini satu bencana,” kata Stefano Anselmo, 44, pengurus restoran Itali Bianco di Paris.

Perancis, seperti negara-negara Eropah yang lain, melaksanakan sekatan pergerakan bagi menangani penyebaran virus dan meredakan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan yang sekali lagi tegang sambil memelihara ekonomi bernilai 2.3 triliun euro (AS$ 2.7 trilion) dan melindungi pekerjaan.

“Bagi pengusaha restoran, saya faham perintah berkurung itu sukar tetapi ada saatnya kita perlu membuat keseimbangan antara kesihatan awam dan kesihatan ekonomi,” kata Bastien Delaunay, seorang pelajar undang-undang berusia 22 tahun.

Jumlah jangkitan koronavirus di Perancis melonjak lebih dari 32,000 dalam satu hari pada hari Sabtu untuk pertama kalinya sejak permulaan wabak ini, menurut kementerian kesihatan.

Perintah berkurung itu berkuatkuasa mulai jam 9 malam hingga jam 6 pagi, sekurang-kurangnya untuk empat minggu. – MalaysiaGazette