LISBON –  Perpecahan telah menyebabkan dunia gagal menghadapi cabaran memerangi pandemi Covid-19, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.
Serentak itu, beliau memberi amaran bahawa tindakan bersepadu diperlukan untuk mengelakkan berjuta-juta orang penduduk dunia terjebak dalam kemiskinan dan kelaparan.
Bekas Perdana Menteri Portugal itu mengatakan lebih banyak lagi yang dapat dilakukan sekiranya negara-negara bekerjasama untuk memerangi penyakit yang telah membunuh lebih dari satu juta orang.
“Pandemik Covid-19 adalah cabaran global utama bagi seluruh komuniti antarabangsa. Sayangnya, dalam menghadapi ujian ini, masyarakat antarabangsa telah gagal,” katanya.
Guterres berkata, jika kerjasama tidak diambil ‘virus mikroskopik’ akan menyebabkan jutaan penduduk terjerumus dalam kemiskinan dan kelaparan, dengan kesan ekonomi yang dahsyat pada tahun-tahun mendatang.
Beliau juga mengkritik negara-negara yang tidak bersatu dalam berusaha menyelesaikan cabaran global lain termasuk konflik di Afghanistan, Yaman dan Syria.
“Ini adalah kekecewaan besar,” katanya.
Lebih daripada 39 juta orang telah dijangkiti oleh Covid-19, membabitkan 210 buah negara dan wilayah sejak kes pertama dikenal pasti di China pada bulan Disember 2019. – MalaysiaGazette