Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah sedang dan akan terus mengambil pelbagai tindakan bagi memastikan sistem kesihatan negara mampu mendepani cabaran terutama wabak Covid-19.

KKM telah juga menggerakkan semua kemudahan dan keupayaan kementerian untuk tujuan itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Menurutnya, khusus untuk membendung Covid-19, KKM telah menambah kapasiti hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Ringan Covid-19 (PKRC) kepada 11,076 katil berbanding 6,795 katil pada 6 Oktober 2020.

“Jumlah itu termasuk 3,505 katil di 43 hospital Covid-19 dan 7,571 katil di 46 PKRC seluruh negara. Berbanding pada 6 Oktober lepas, terdapat 2,820 katil di hospital dan 3,975 katil di PKRC.

Kadar penggunaan katil Covid-19 di seluruh negara kini masih terkawal pada 45 peratus di hospital dan 37 peratus di PKRC. Jumlah kes aktif hari ini ialah 6,323 kes, manakala kes sembuh 245 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khusus di Sabah, menurut Adham, KKM juga telah menyediakan katil khusus Covid-19 sebanyak 5,276.

Ini adalah peningkatan sebanyak 53% berbanding bilangan katil pada 5 Oktober 2020 dalam usaha memastikan kesiapsiagaan adalah pada tahap optima di negeri itu. Sebanyak 16 PKRC kini sedia untuk beroperasi.

Bagi meningkatkan kesiapsiagaan di Sabah juga KKM telah melaksanakan mobilisasi petugas kesihatan ke hospital, klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah dan juga petugas lapangan. Mobilisasi ini termasuk 140 pegawai perubatan dan 225 Penolong Pegawai Perubatan.

KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk menyediakan Hospital Medan yang menempatkan 100 katil, membawa sampel ujian COVID-19 ke Semenanjung dan menerbangkan 75,000 kit ujian RTK-Antigen serta pelbagai peralatan ke Sabah, katanya.

Manakala itu, di dalam membuat analisis dan perancangan strategik yang pragmatik, KKM tidak semata-mata menggunakan titik R-naught, tetapi secara komprehensif pakar-pakar KKM di pelbagai peringkat meneliti semua aspek berkaitan, termasuk kadar kebolehjangkitan, kadar kematian, kadar penggunaan katil, ciri-ciri kluster dan nilai korelasi spatio.

Kesihatan dan keselamatan nyawa menjadi keutamaan Kerajaan dan KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung COVID-19.- MalaysiaGazette