Seorang penduduk mengambil bekalan air yang disediakan Air Selangor selepas penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Khidmat Setempat PJS 1/25, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 162 kawasan di Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor sudah menerima semula bekalan air setakat ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, baki 1,130 kawasan dalam proses pemulihan selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang mula menyalurkan bekalan sejak pukul 6 petang semalam.

“Sehingga pukul 9 pagi tadi, sebanyak 162 atau 13 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan telah menerima bekalan air sepenuhnya.

“Pengguna dinasihat menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan yang masih belum menerima bekalan dan mengikut jadual pelan pemulihan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Air Selangor turut menggerakkan 121 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan kawasan perumahan terjejas.

Manakala, pengguna boleh mendapatkan bekalan melalui pili awam dan pusat khidmat setempat, ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, perkembangan terkini akan dimaklumkan menerusi Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Bekalan air mula disalurkan kepada 1.1 juta akaun pengguna terjejas pada jam 8 pagi ini selepas LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang memulakan operasi pada pukul 6 petang semalam.

LRA terbabit terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor. – MalaysiaGazette