Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meminda Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) bagi memperkasakan fungsi dan peranan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pindaan akta tersebut akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan DOSM sebagai sebuah agensi statistik yang setanding dengan agensi statistik yang terbaik di seluruh dunia.

Kabinet juga, menurut Mustapa telah bersetuju untuk memberikan peranan yang lebih besar kepada DOSM sebagai sebuah agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara.

Dalam masa sama, Kabinet turut bersetuju memberikan peranan yang lebih besar kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai agensi statistik berpusat.

“Selaras dengan itu, Chief Data Officer (CDO) DOSM di bawah kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia DOSM bagi membangunkan mekanisme yang sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama terhadap perkongsian data.

“Perlantikan ini dibuat tanpa melibatkan peruntukan tambahan,” katanya semasa merasmikan Hari Statistik Negara dan Dunia 2020 di sini hari ini.

Tambah beliau, pengukuhan Sistem Statistik Negara akan memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data lebih komprehensif di sektor kerajaan.

Ini akan memudahkan kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.

Di samping itu, ia turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai di setiap agensi dan kementerian. -MalaysiaGazette