FGV

KUALA LUMPUR – Felda belum lagi menghubungi pihak FGV untuk berunding perkara berkaitan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

Di bawah syarat perjanjian, penamatan LLA dibenarkan.

Sekiranya Felda mengeluarkan notis tentang perkara ini, FGV akan mengikuti prosedur yang telah dinyatakan dalam LLA tersebut.

Aset-aset yang terlibat dalam LLA adalah ladang-ladang dan tidak termasuk kilang-kilang kelapa sawit milik FGV.

”Sekiranya Felda berhasrat ingin membeli kilang-kilang kelapa sawit FGV, ia harus berdasarkan “pembeli bersedia, penjual bersedia” dan nilai pasaran semasa. Ia juga memerlukan kelulusan pemegang-pemegang saham yang lain melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa.

”FGV ingin memberikan penjelasan berkenaan dengan kenyataan oleh pihak FELDA bahawa sebelum IPO pada tahun 2012, Felda mempunyai keuntungan lebih dari RM1 billion dan selepas FGV wujud sebagai syarikat senaraian awam, FELDA mengalami kerugian setiap tahun dan jumlah hutang meningkat.

Berkenaan dengan perkara di atas, FGV ingin mengemukakan fakta-fakta yang berikut:

  • Ketika LLA ditandatangani pada tahun 2011, harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras sekitar RM3,000/tan dan unjuran pendapatan Felda (melalui LLA) menggunakan harga RM2,800/tan. Harga MSM memainkan peranan yang paling penting dalam menentukan keuntungan atau kerugian syarikat. Selepas IPO pada tahun 2012, pembayaran kepada FELDA daripada FGV tidak menepati unjuran Felda kerana penurunan harga MSM.
  • Hasil pada tandan buah segar (TBS) lebih rendah daripada yang dijangkakan kerana 50% pokok-pokok yang diwarisi oleh FGV pada tahun 2012 dianggap sebagai pokok tua (lebih daripada 21 tahun). Tambahan pula, 15,000 hektar tanah setiap tahun diperuntukkan untuk penanaman semula yang menyumbang kepada pengurangan pendapatan FGV.
  • Perbelanjaan penanaman semula untuk kawasan seluas 15,000 hektar adalah dalam lingkungan RM300 juta setahun. Di samping itu, kos pembajaan dan pemulihan adalah RM300 juta setahun.
  • FGV memilih untuk menanam semula dan menaik taraf ladang-ladang untuk mencapai kelestarian jangka panjang. Hasilnya, FGV telah berjaya mengurangkan peratusan pokok tua sekitar 30%. Tanah LLA lebih elok dan bertambah baik berbanding dengan apa yang diberikan kepada FGV semasa IPO.
  • IPO FGV sering kali dikatakan punca kegagalan dan kejatuhan Felda. Isu sebenarnya adalah penggunaan hasil pendapatan daripada IPO, dan bukan IPO itu sendiri. Felda memperolehi RM5.7 bilion daripada IPO ini manakala FGV memperolehi RM4.5 bilion.
  • FGV tidak dapat mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO. Malang bagi FGV, sebahagian daripada hasil tidak dilaburkan dengan baik. Sehingga akhir 2018, FGV telah membuat rosot nilai besar berjumlah RM780 juta untuk pelaburan baharu tersebut.
  • Kenyataan FELDA bahawa ia harus menerima RM800 juta setahun daripada LLA adalah tidak benar. Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jumlah yang perlu dibayar kepada FELDA adalah RM248 juta setahun serta 15% keuntungan operasi daripada tanah LLA.
  • Sehingga ke hari ini, tanggungjawab FGV kepada Felda (menurut LLA) berjumlah RM248 juta setahun telah dipenuhi sepenuhnya. FGV telah membayar lebih daripada RM2.5 bilion kepada FELDA dari tahun 2012 hingga 2019

FGV menambah, syarikat itu akan membuat pengumuman yang sewajarnya pada waktu yang sesuai sekiranya berlaku perkembangan mengenai perkara ini.  – MalaysiaGazette