KUALA LUMPUR- Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menerbitkan sukuk bernilai RM50 bilion sebagai sebahagian daripada program Kertas Komersial Islamik (ICP) dan Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN).
Menurut kenyataannya di laman web Bank Negara Malaysia, saiz sukuk itu telah dinaikkan berbanding RM25 bilion sebelum ini.
“Program terbitan ICP dan IMTN yang lebih besar ini ditambah dengan kertas komersial konvensional dan kertas konvensional jangka sederhana serta kemudahan i-kredit berpusing bersindiket telah menghasilkan had agregat kombinasi sehingga RM50 bilion pada kadar nominal dan semuanya dijamin kerajaan,” kata LPPSA.
AmInvestment Bank Bhd; Bank Islam Malaysia Bhd; CIMB Investment Bank Bhd; Maybank Investment Bank Bhd; OCBC Bank (Malaysia) Bhd; dan RHB Investment Bank Bhd. dilantik sebagai pengurus utama bersama dan penempah buku bagi pelaksanaan tempahan sukuk.
CIMB Investment Bank dilantik sebagai ejen fasiliti manakala RHB Islamic Bank Bhd. sebagai penasihat syariah. – MalaysiaGazette