KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan kewujudan sebuah pasukan yang menjadi perbualan ketika ini, Rakyat United sebenarnya masih belum disahkan pihaknya.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, kewujudan Rakyat United masih belum sah kerana pihaknya harus memperhalusi terlebih dahulu dokumen yang dihantar oleh pihak pengurusan pasukan.

“Pasukan Rakyat United belum sah lagi dan terdapat banyak khabar angin mengenai status pasukan itu dalam liga tempatan tetapi buat masa ini, masih tiada kedudukan rasmi buat mereka.

“Ia disebabkan jika mereka mengambil alih Felda United sekalipun, status Felda United juga masih belum diluluskan.

“Jadi, saya rasakan adalah terlalu cepat untuk menggerakkan projek Rakyat United ini,” katanya menurut laporan Astro Arena.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui ada berjumpa dengan pengurusan Rakyat United baru-baru ini.

Ini selepas beliau menyatakan bahawa mungkin akan ada pasukan bola sepak yang mewakili Putrajaya dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kata Annuar, cadangan tersebut sedang dibincangkan di semua peringkat termasuk berbincang dengan pengurusan Rakyat United serta menyatakan hasrat itu secara rasmi kepada FAM.

“Memang betul saya bertemu dengan pengurusan Rakyat United yang asalnya Felda United FC (FUFC) dan mereka telah dimiliki syarikat-syarikat tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masih belum ada sebarang keputusan mengenai penubuhan pasukan bola sepak tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat United ganti Felda United – Annuar