Ismail Sabri tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan Melaka sebagai kawasan Perintah Pergerakan Diperketatkan (PKPD).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan),  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan Melaka sebagai kawasan Perintah Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau sekaligus menafikan berita berkenaan dan mendakwanya palsu.

Dalam masa yang sama Ismail Sabri mengingatkan rakyat supaya berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat apatah lagi yang belum disahkan benar.

Penyebar juga tambahnya berisiko dikenakan tindakan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Siapa yang tengok sidang media saya setiap hari, saya tidak pernah sebut Melaka diisytiharkan PKPD, yang isytiharkan itu mungkin orang lain kalau saya tidak isytiharkan dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tan Sri Noor Hisham Abdullah juga tidak pernah kata begitu.

“Itu adalah berita palsu, jangan percaya,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sehingga kini kata Ismail Sabri, Melaka masih dikategorikan sebagai kawasan-kawasan berstatus zon kuning.

Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah benar Ismail sendiri pernah mengumumkan Melaka kawasan PKPD baru-baru ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri juga memaklumkan sehingga kini kerajaan tidak menghalang tindakan membawa pulang ahli keluarga daripada Singapura untuk pulang ke tanah air.

Namun ianya perlu diluluskan terlebih oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Mereka dibenarkan membawa pulang anak isteri, ahli keluarga ke Malaysia tetapi perlu memohon daripada JIM dan mereka boleh membuat permohonan melalui MyTravel Pass melalui Online dan kebenaran boleh diberikan oleh JIM,” katanya.

Bagi kos kuarantin, golongan B40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) katanya lagi boleh membuat permohonan pengecualian tanggungan kos sekiranya tidak layak.-MalaysiaGazette